KAHERAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba di sempadan Rafah untuk menghantar dan melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 110 kontena Malaysia ke Gaza.

Perkara itu disahkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang memaklumkan bahawa misi ini bukti komitmen dan keseriusan Kerajaan dalam membantu rakyat Palestin yang sedang menghadapi kesengsaraan akibat perang di Gaza.

"Perdana Menteri dari awal memantau secara dekat perkembangan Palestin, jadi kita cuba mencari masa yang sesuai sebab ada beberapa perkara perlu diselesaikan," kata Nik Nazmi.

Beliau bagaimanapun tidak meletakkan jangkaan bila pemimpin utama negara itu akan berada di Rafah.

"Saya nak turun senang, Perdana Menteri nak turun dia panjang sikit persediaannya, seperti mencari masa yang sesuai, persediaan Kerajaan di Mesir dan sebagainya.

"Ia bukan usaha yang mudah dalam keadaan sekarang, tetapi insya-Allah kita akan usahakan perkara ini," jelas Nik Nazmi.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 110 Kontena Malaysia ke Gaza, di Kaherah, pada Selasa.

Pada Isnin, Astro AWANI melaporkan, Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 100 Kontena Malaysia ke Gaza menerima penambahan 10 lagi kontena menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 buah kontena yang akan dihantar ke enklaf terkepung itu.

Menurut ketua misi, Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, penambahan 10 kontena awal itu melibatkan 200 tan barangan keperluan asas yang akan dihantar melalui persimpangan Rafah ke utara Gaza yang kini berhadapan dengan kebuluran.

"Kuantiti keseluruhan barang sebanyak 30 buah yang melibatkan 15 jenis barangan asas seperti beras, tepung, minyak masak, tuna, serta kit kebersihan diri.

"Kesemua 110 kontena dengan nilai RM12 juta boleh memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di Gaza," katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, Kerajaan akan berusaha memastikan bantuan berterusan akan dapat disampaikan kepada rakyat Palestin kerana situasi ketika ini di Gaza jauh lebih buruk berbanding semasa awal peperangan pada Oktober lalu.

"Masalah kebuluran sekarang lebih serius kerana kerosakan tanaman, bantuan tidak dibenarkan masuk secara besar-besaran dan ini adalah cabaran-cabaran yang ada.

"Bagi saya di peringkat Kerajaan, isyarat yang jelas sudah diberikan. Kita tahu Malaysia tidak boleh gah dengan saiz kerana kita kecil dan penduduk tidak ramai, tapi ekonomi kita agak kuat.

"Bagaimanapun, kekuatan kita daripada segi kelantangan kerana Perdana Menteri secara berdepan dengan pemimpin barat membawa suara Palestin dan itulah yang menjadi inspirasi kepada negara-negara Islam lain kerana terdapat keberanian dalam kalangan pemimpin Islam seperti Perdana Menteri kita," ujarnya.

Pada 23 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan pelepasan misi itu berkata, Malaysia komited membantu Gaza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi bagi memudahkan proses penghantaran misi tersebut.

Perang di Gaza memasuki fasa kritikal dengan Israel telah menyerang Rafah sekali gus berisiko meningkatkan angka korban rakyat Palestin yang mencatatkan lebih 34,000 mangsa sejak 7 Oktober tahun lalu.

Malah, perang yang telah lama berlarutan itu menarik perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi amaran berhubung krisis kebuluran akibat kekurangan makanan dan keperluan asas selain penyakit berjangkit yang merebak akibat ketiadaan barang keperluan kebersihan diri di Gaza.